Setiba di Dubai jam 4.30 pagi selepas tujuh jam penerbangan,
dari lapangan terbang antarabangsa Dubai, terus pemandu limo menghantar
saya ke apartmen berhampiran Irfan Khairi Institute of Business Dubai.
Sememangnya saya suka mengambil penerbangan malam kerana
apabila tiba di Dubai pada waktu pagi, saya boleh terus menghadiri
mesyuarat dan temu janji selepas berehat sebentar di apartmen. Dengan
cara ini, saya tidak rugi hari kerana perjalanan pada waktu malam.
Umpama semalam di Kuala Lumpur dan hari berikutnya di Dubai untuk hari
yang baru!
Di sini, saya tinggal di apartmen suite yang perkhidmatannya
seperti hotel lima bintang. Setibanya di lobi apartmen pada jam 5.30
pagi, mata saya tertumpu pada seorang pekerja pencuci di lobi itu.
Pekerja dari Filipina lengkap berpakaian seragam itu khusyuk mengilatkan
lantai dengan mesin manakala alat cucian lain pula di sisinya.
Fikiran saya terus mengimbau kisah 18 tahun lalu - saling
tidak tumpah dengan keadaan saya ketika itu. Sewaktu belajar di United
Kingdom, saya tidak mempunyai duit mencukupi untuk mendalami dua ilmu
yang cukup saya minati - ilmu motivasi dan perniagaan. Walaupun ditaja
kerajaan, tajaan terbabit alhamdulillah hanya cukup untuk yuran
universiti, tempat tinggal dan makan minum.
Untuk mendalami ilmu motivasi dan perniagaan, sememangnya di
luar skop pembelajaran universiti. Oleh itu, saya perlu mencari wang
lebih untuk mencari ilmu tambahan ini. Apakah caranya? Ya, saya bekerja
sebagai seorang tukang cuci selama dua tahun sambil belajar.
Sememangnya bukanlah minat saya untuk menjadi seorang tukang
cuci, tetapi tahu sebelum kita dapat melakukan apa yang kita minati,
ada kalanya perlu lakukan apa yang terpaksa. Namun, dalam minda tersemat
ini hanyalah permulaan saya untuk menjadi seorang usahawan berjaya satu
hari nanti.
Pada masa itu, setiap hari selepas solat Subuh, saya
berjalan kira-kira tiga kilometer ke pasar raya tempat saya bekerja
sebagai tukang cuci setiap hari sebelum kuliah universiti bermula jam 10
pagi.
Kelebihannya, saya suka berjalan kerana mengambil peluang
itu untuk bersenam! Saya masih ingat, pada tahun pertama tidak
dibenarkan cuti sehari pun. Kalau hendak bercuti, perlu senyap-senyap
berpakat dengan rakan pencuci lain untuk melakukan kerja kita supaya
penyelia tidak perasan.
Maklumlah, ada kalanya perlu menghadiri kuliah lebih awal,
ataupun perlu berjumpa rakan sekelas untuk mengendalikan projek kumpulan
di universiti. Ada juga masanya saya berjumpa rakan universiti dengan
pakaian seragam tukang cuci kerana mengejar masa! Pada mulanya, memang
terasa malu juga tetapi apabila terjadi dua tiga kali, hilang terus
perasaan malu.
Ada kalanya saya terfikir, keadaan itu juga memperbaiki diri
saya sendiri. Saya tidak lagi malu dengan rakan mat salih dan pelajar
lain serata dunia. Memakai seragam tukang cuci membuatkan saya lebih
tabah, hilang perasaan malu dan berani menghadapi sesiapa sahaja!
Lain orang lain bicara
Bekerja sebagai tukang cuci selama dua tahun mengajar saya
pelbagai perkara. Maklumlah, kita sebagai tukang cuci dipandang sebagai
tukang cuci saja - pendatang luar pula. Dimarah dan ditengking penyelia
satu perkara biasa. Tetapi, terpaksa tahan saja telinga kerana ingin
mencari wang untuk menambah ilmu. Jauh di dalam hati saya tahu, ketika
itu hanyalah pengalaman sementara untuk mengumpul wang sebelum mula
mengejar cita-cita.
Ada satu ketika, sedang sibuk mengemop lantai pasar raya,
saya tidak sedar bahagian belakang batang kayu mop terlanggar rak
minuman berkabonat. Beberapa botol minuman berkarbonat jatuh pecah
berkecai di lantai dan pastinya tindak balas air bergas itu menjadikan
keadaan lebih teruk.
Akibat bunyi bising itu, penyelia pencuci lari bergegas
kepada saya dan apa lagi, pastinya saya dimarah dan dijerit. Pelbagai
kata-kata kesat turut dilemparkan kepada saya, maklumlah mat salih itu
mungkin kurang tahap pendidikan, jadi kata-kata lucah saja terhambur
dari mulutnya. Memang salah saya kerana lalai, dan saya terima.
Tidak lama kemudian, pengurus pasar raya pula muncul kerana
terdengar kekecohan itu. Cepat-cepat saya minta maaf kepada pengurus
pasar raya itu dan saya lantas mengeluarkan dompet dari poket belakang
seluar dan bertanyakan kepada pengurus pasar raya, ‘Please tell me how
much. I want to pay for the drinks’.
Kerana tahu salah saya tidak sengaja memecahkan beberapa
botol minuman karbonat itu, saya pun ingin membayar ganti rugi kepada
pengurus pasar raya itu.
Namun, balasan yang saya dapat amat berbeza dengan penyelia
tukang cuci yang mengherdik saya. Pengurus pasar raya itu dengan
bersahaja berkata, ‘Don’t worry you don’t need to pay. Accident happens.
But are you OK?’
Bukan saja tidak mahu menerima wang, tetapi ditanya pula
sama ada saya tidak tercedera kerana itu yang dirisaukan apabila
terdengar bunyi botol pecah.
Ketika itu, saya dapat lihat betapa bezanya perangai manusia
di depan mata saya sendiri. Seorang penyelia pencuci yang menengking
dan mengherdik, seorang pula pengurus pasar raya yang mengambil berat
dan memahami.
Sebagai manusia, perlu memilih cara kita sendiri. Pilihan
bukan pada tangan orang lain, persekitaran, pangkat dan darjat, atau
kenalan dan keluarga. Tetapi pilihan datang daripada diri kita sendiri
untuk membentuk diri sama ada hendak jadi seorang yang baik atau
sebaliknya.
Dua tahun saya bekerja sebagai tukang cuci tetapi itulah dua
tahun yang paling banyak mengajar saya erti kesabaran dengan kerenah
orang, juga sabar dalam mencari ilmu dan berusaha. Untuk berjaya, kita
akan bertemu pelbagai kerenah manusia. Untuk berjaya, kita perlu mencari
ilmu. Dan untuk berjaya juga, pastinya ilmu saja tidak cukup sekiranya
tidak berusaha.
Acuan diri sendiri
Pagi ini, melihat pencuci dari Filipina yang sedang
mengilatkan lantai, teringat saya 18 tahun lalu, saya juga pernah dalam
keadaan itu.
Sebelum memasuki lif apartmen, saya senyum dan menegurnya
‘Hi, how are you?’. Dan pencuci itu pun membalas senyuman dan bertanya
‘Fine, have a good day sir!’ Pintu lif tertutup sambil dirinya terus
memberi senyuman lagi pada saya.
Dalam hidup, kita tidak tahu di mana kita akan berada
setahun akan datang, lima, 10 atau 15 tahun akan datang. Lima tahun
selepas saya menjadi tukang cuci, alhamdulillah saya berjaya mencapai
pendapatan RM1,000,000 daripada perniagaan Internet.
Kira-kira 10 tahun selepas menjadi seorang tukang cuci,
alhamdulillah dapat mendidik dan juga memberi inspirasi kepada orang
ramai di Malaysia dan melahirkan paling ramai usahawan Internet berjaya
di Malaysia. Hari ini, 18 tahun selepas menjadi seorang pencuci,
alhamdulillah tertubuhnya Irfan Khairi Institute of Business Dubai.
Jika ditanya kepada saya, apakah rahsia kejayaan? Jawapannya
ada pada pengalaman yang saya kongsikan hari ini. Kejayaan perlu
mempunyai kesabaran. Kejayaan perlu mempunyai ilmu. Kejayaan juga perlu
diusahakan. Tiada jalan pintas. Tidak kira di mana diri kita berada satu
masa dulu, masa depan kita di tangan diri kita sendiri, bukan orang
lain.
Sentiasa rendah diri, tetapi jangan pandang rendah pada diri
sendiri. Kita sendiri tidak tahu potensi diri kita sekiranya kita tidak
terus berusaha mengejar matlamat. Bagaimana hendak mencungkil potensi
diri?
Mulakan dengan matlamat dan berusaha mencapainya dengan
ilmu. Anda akan lebih mengenali potensi sebenar dalam perjalanan
terbabit. Ia bukanlah satu sasaran, tetapi satu perjalanan yang akan
membentuk dan memperbaiki diri sendiri.
Hargai segala pengalaman yang kita miliki, tidak kira susah
atau senang. Buangkan perasaan ego dan hormati semua insan. Sentiasa
berdoa kepada Yang Maha Esa supaya apa kita usahakan diperkenankan dan
bersyukur selalu kerana bersyukur itu akan membuka pelbagai pintu rezeki
yang kita tidak sangkakan, insya-Allah.
Semoga perkongsian saya kali ini memberi manfaat kepada anda
dan saya doakan anda juga akan mencapai apa saja matlamat anda satu
hari nanti!