Instaforex Web

InstaForex

piphijau

Friday, April 7, 2017

Tukang cuci ke usahawan global

Irfan Khairi
 
Setiba di Dubai jam 4.30 pagi selepas tujuh jam penerbangan, dari lapangan terbang antarabangsa Dubai, terus pemandu limo menghantar saya ke apartmen berhampiran Irfan Khairi Institute of Business Dubai.
Sememangnya saya suka mengambil penerbangan malam kerana apabila tiba di Dubai pada waktu pagi, saya boleh terus menghadiri mesyuarat dan temu janji selepas berehat sebentar di apartmen. Dengan cara ini, saya tidak rugi hari kerana perjalanan pada waktu malam. Umpama semalam di Kuala Lumpur dan hari berikutnya di Dubai untuk hari yang baru!
Di sini, saya tinggal di apartmen suite yang perkhidmatannya seperti hotel lima bintang. Setibanya di lobi apartmen pada jam 5.30 pagi, mata saya tertumpu pada seorang pekerja pencuci di lobi itu. Pekerja dari Filipina lengkap berpakaian seragam itu khusyuk mengilatkan lantai dengan mesin manakala alat cucian lain pula di sisinya.
Fikiran saya terus mengimbau kisah 18 tahun lalu - saling tidak tumpah dengan keadaan saya ketika itu. Sewaktu belajar di United Kingdom, saya tidak mempunyai duit mencukupi untuk mendalami dua ilmu yang cukup saya minati - ilmu motivasi dan perniagaan. Walaupun ditaja kerajaan, tajaan terbabit alhamdulillah hanya cukup untuk yuran universiti, tempat tinggal dan makan minum.
Untuk mendalami ilmu motivasi dan perniagaan, sememangnya di luar skop pembelajaran universiti. Oleh itu, saya perlu mencari wang lebih untuk mencari ilmu tambahan ini. Apakah caranya? Ya, saya bekerja sebagai seorang tukang cuci selama dua tahun sambil belajar.
Sememangnya bukanlah minat saya untuk menjadi seorang tukang cuci, tetapi tahu sebelum kita dapat melakukan apa yang kita minati, ada kalanya perlu lakukan apa yang terpaksa. Namun, dalam minda tersemat ini hanyalah permulaan saya untuk menjadi seorang usahawan berjaya satu hari nanti.
Pada masa itu, setiap hari selepas solat Subuh, saya berjalan kira-kira tiga kilometer ke pasar raya tempat saya bekerja sebagai tukang cuci setiap hari sebelum kuliah universiti bermula jam 10 pagi.
Kelebihannya, saya suka berjalan kerana mengambil peluang itu untuk bersenam! Saya masih ingat, pada tahun pertama tidak dibenarkan cuti sehari pun. Kalau hendak bercuti, perlu senyap-senyap berpakat dengan rakan pencuci lain untuk melakukan kerja kita supaya penyelia tidak perasan.
Maklumlah, ada kalanya perlu menghadiri kuliah lebih awal, ataupun perlu berjumpa rakan sekelas untuk mengendalikan projek kumpulan di universiti. Ada juga masanya saya berjumpa rakan universiti dengan pakaian seragam tukang cuci kerana mengejar masa! Pada mulanya, memang terasa malu juga tetapi apabila terjadi dua tiga kali, hilang terus perasaan malu.
Ada kalanya saya terfikir, keadaan itu juga memperbaiki diri saya sendiri. Saya tidak lagi malu dengan rakan mat salih dan pelajar lain serata dunia. Memakai seragam tukang cuci membuatkan saya lebih tabah, hilang perasaan malu dan berani menghadapi sesiapa sahaja!

Lain orang lain bicara
Bekerja sebagai tukang cuci selama dua tahun mengajar saya pelbagai perkara. Maklumlah, kita sebagai tukang cuci dipandang sebagai tukang cuci saja - pendatang luar pula. Dimarah dan ditengking penyelia satu perkara biasa. Tetapi, terpaksa tahan saja telinga kerana ingin mencari wang untuk menambah ilmu. Jauh di dalam hati saya tahu, ketika itu hanyalah pengalaman sementara untuk mengumpul wang sebelum mula mengejar cita-cita.
Ada satu ketika, sedang sibuk mengemop lantai pasar raya, saya tidak sedar bahagian belakang batang kayu mop terlanggar rak minuman berkabonat. Beberapa botol minuman berkarbonat jatuh pecah berkecai di lantai dan pastinya tindak balas air bergas itu menjadikan keadaan lebih teruk.
Akibat bunyi bising itu, penyelia pencuci lari bergegas kepada saya dan apa lagi, pastinya saya dimarah dan dijerit. Pelbagai kata-kata kesat turut dilemparkan kepada saya, maklumlah mat salih itu mungkin kurang tahap pendidikan, jadi kata-kata lucah saja terhambur dari mulutnya. Memang salah saya kerana lalai, dan saya terima.
Tidak lama kemudian, pengurus pasar raya pula muncul kerana terdengar kekecohan itu. Cepat-cepat saya minta maaf kepada pengurus pasar raya itu dan saya lantas mengeluarkan dompet dari poket belakang seluar dan bertanyakan kepada pengurus pasar raya, ‘Please tell me how much. I want to pay for the drinks’.
Kerana tahu salah saya tidak sengaja memecahkan beberapa botol minuman karbonat itu, saya pun ingin membayar ganti rugi kepada pengurus pasar raya itu.
Namun, balasan yang saya dapat amat berbeza dengan penyelia tukang cuci yang mengherdik saya. Pengurus pasar raya itu dengan bersahaja berkata, ‘Don’t worry you don’t need to pay. Accident happens. But are you OK?’
Bukan saja tidak mahu menerima wang, tetapi ditanya pula sama ada saya tidak tercedera kerana itu yang dirisaukan apabila terdengar bunyi botol pecah.
Ketika itu, saya dapat lihat betapa bezanya perangai manusia di depan mata saya sendiri. Seorang penyelia pencuci yang menengking dan mengherdik, seorang pula pengurus pasar raya yang mengambil berat dan memahami.
Sebagai manusia, perlu memilih cara kita sendiri. Pilihan bukan pada tangan orang lain, persekitaran, pangkat dan darjat, atau kenalan dan keluarga. Tetapi pilihan datang daripada diri kita sendiri untuk membentuk diri sama ada hendak jadi seorang yang baik atau sebaliknya.
Dua tahun saya bekerja sebagai tukang cuci tetapi itulah dua tahun yang paling banyak mengajar saya erti kesabaran dengan kerenah orang, juga sabar dalam mencari ilmu dan berusaha. Untuk berjaya, kita akan bertemu pelbagai kerenah manusia. Untuk berjaya, kita perlu mencari ilmu. Dan untuk berjaya juga, pastinya ilmu saja tidak cukup sekiranya tidak berusaha.

Acuan diri sendiri
Pagi ini, melihat pencuci dari Filipina yang sedang mengilatkan lantai, teringat saya 18 tahun lalu, saya juga pernah dalam keadaan itu.
Sebelum memasuki lif apartmen, saya senyum dan menegurnya ‘Hi, how are you?’. Dan pencuci itu pun membalas senyuman dan bertanya ‘Fine, have a good day sir!’ Pintu lif tertutup sambil dirinya terus memberi senyuman lagi pada saya.
Dalam hidup, kita tidak tahu di mana kita akan berada setahun akan datang, lima, 10 atau 15 tahun akan datang. Lima tahun selepas saya menjadi tukang cuci, alhamdulillah saya berjaya mencapai pendapatan RM1,000,000 daripada perniagaan Internet.
Kira-kira 10 tahun selepas menjadi seorang tukang cuci, alhamdulillah dapat mendidik dan juga memberi inspirasi kepada orang ramai di Malaysia dan melahirkan paling ramai usahawan Internet berjaya di Malaysia. Hari ini, 18 tahun selepas menjadi seorang pencuci, alhamdulillah tertubuhnya Irfan Khairi Institute of Business Dubai.
Jika ditanya kepada saya, apakah rahsia kejayaan? Jawapannya ada pada pengalaman yang saya kongsikan hari ini. Kejayaan perlu mempunyai kesabaran. Kejayaan perlu mempunyai ilmu. Kejayaan juga perlu diusahakan. Tiada jalan pintas. Tidak kira di mana diri kita berada satu masa dulu, masa depan kita di tangan diri kita sendiri, bukan orang lain.
Sentiasa rendah diri, tetapi jangan pandang rendah pada diri sendiri. Kita sendiri tidak tahu potensi diri kita sekiranya kita tidak terus berusaha mengejar matlamat. Bagaimana hendak mencungkil potensi diri?
Mulakan dengan matlamat dan berusaha mencapainya dengan ilmu. Anda akan lebih mengenali potensi sebenar dalam perjalanan terbabit. Ia bukanlah satu sasaran, tetapi satu perjalanan yang akan membentuk dan memperbaiki diri sendiri.
Hargai segala pengalaman yang kita miliki, tidak kira susah atau senang. Buangkan perasaan ego dan hormati semua insan. Sentiasa berdoa kepada Yang Maha Esa supaya apa kita usahakan diperkenankan dan bersyukur selalu kerana bersyukur itu akan membuka pelbagai pintu rezeki yang kita tidak sangkakan, insya-Allah.
Semoga perkongsian saya kali ini memberi manfaat kepada anda dan saya doakan anda juga akan mencapai apa saja matlamat anda satu hari nanti!

2 comments:

  1. Halo,
    Perkenalkan, Nama saya Wenny
    Saya adalah development dari ForexMart, Kami melihat website anda dan kami ingin mendiskusikan kerjasama kemitraan dengan Anda. 
    Boleh saya minta kontaknya untuk menjelaskan lebih lanjut atau anda bisa langsung menghubungi saya ke wenny@forexmart.com, terimakasih

    ReplyDelete
  2. Halo,
    Perkenalkan, Nama saya Wenny
    Saya adalah development dari ForexMart, Kami melihat website anda dan kami ingin mendiskusikan kerjasama kemitraan dengan Anda. 
    Boleh saya minta kontaknya untuk menjelaskan lebih lanjut atau anda bisa langsung menghubungi saya ke wenny@forexmart.com, terimakasih

    ReplyDelete